Gambaran pelukis mengenai muka Tok Janggut berdasarkan sejarah.
Tok janggut
Monday, 16 March 2015
Biodata dan Latar belakang
(Haji Mat Hassan Bin Munas/Tok Janggut)
Nama sebenar beliau ialah Haji Mat Hassan bin Munas, namun beliau lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut hingga ke paras dada. Tok Janggut dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Saring daerah Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau menetap di Kampung Nering, Kelantan dan bekerja sebagai seorang petani dan peniaga.
Tok Janggut mendapat pendidikan awal di negeri Kelantan dan seterusnya melanjutkan pengajian di Mekah. Beliau mahir dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu persilatan. Tok Janggut dikatakan ada pertalian darah dengan Sultan Muhammad IV di mana bonda baginda adalah adik-beradik kepada ayah atau ibu Tok Janggut dan ada juga yang mengatakan bahawa Tok Janggut adalah anak murid Tok Ku Paloh.
Faktor Penentangan
Selepas Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 an, pihak British
mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan daripada Siam dan mula
membawa pelbagai perubahan khususnya dari sudut pentadbiran. Perubahan
yang dibawa telah menyentuh isu keistimewaan tradisional negeri
Kelantan.
Antara isu sensitif yang dibawa oleh penjajah British adalah:
a) British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah pada tahun 1915 an.
b ) Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai
pokok kelapa yang berbuah, cukai pokok pinang, cukai daun sirih dan
ternakan lembu serta kerbau.
Rakyat menghadapi masalah kesukaran membayar cukai kerana pejabat
cukai terletak jauh di bandar. Penduduk yang gagal membayar cukai akan
ditangkap dan didenda. Tambahan pula sikap biadap pegawai British yang
bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.
Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah
menyeru umat Islam berjihad menentang penjajah Barat. Tok Janggut
menyahut seruan tersebut dengan melancarkan penentangan terhadap British
di Pasir Puteh, Kelantan.
Tok Janggut dan Perjuangan
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk
sejak kecil lagi. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram,
Kelantan pada tahun 1850 an. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai
panglima istana, beliau turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri
Maharaja Jeram. Beliau belajar ilmu agama di Mekah. Ketika berusia 52
tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad
memberi amanat kepada beliau supaya berikhtiar untuk membebaskan tanah
air beliau yang dikenali sebagai ‘ Negeri Serambi Mekah ‘. Pada masa
yang sama, Inggeris mula melebarkan penjajahannya ke negeri Melayu di
Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai
Barat Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam
menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah
kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui oleh orang Melayu dan
perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas
penduduk watan. Tok Janggut pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan
pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau
menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan
menentang penjajah itu.
Tok Janggut juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu yang lain
termasuklah pejuang Melayu di negeri Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau
dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila
tercetusnya Perang Dunia Pertama pada bulan Ogos 1914 an. Kerajaan
Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian
Inggeris-Kelantan pada tahun 1910 an dipaksa menyatakan bahawa mereka
menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan kerajaan Kelantan
pada masa itu memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam
Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan
fatwa Syaikhul Islam, Syaikh Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam
berjihad menentang British dan sekutunya.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi
kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut
membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Kekacauan bermula apabila
pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana
hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan
itu, Tok Janggut memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen
penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk
menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan
tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Tok Janggut bermesyuarat dengan pengikutnya di
rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi untuk menentang
Inggeris dan akhirnya bersepakat untuk mengambil alih pemerintahan di
Pasir Puteh dan seterusnya mengisytiharkan jajahan tersebut merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui oleh Pegawai Jajahan Pasir
Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian
mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman,
untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa
anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa
Tok Janggut menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Tok Janggut
sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk.
Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi
penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu
menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di
belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya
daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di
hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Tok Janggut
menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan
peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan
pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota
Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan
pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar sebagai Ketua Menteri dan
Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh
membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini Sultan
Muhammad IV sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan
memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad IV
mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik
Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka
meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut
menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya
tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap
sebagai penindas.
Dipendekkan cerita, atas cadangan Penasihat British dan sokongan
Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad IV memutuskan
untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa
yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 orang pengikut kanannya akan
menerima ganjaran. Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan
menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan
beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok
Janggut.
Langham-Carter meminta Gabenor menghantar bantuan ketenteraan.
Gabenor telah menghantar 239 askar Inggeris ke Kelantan pada 3 Mei 1915.
Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan cara
bersembunyi. Selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke
Singapura. Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali
menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk
membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok
Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24
Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula
memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan
menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana
mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang
askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam
mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam
Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan takbir, Tok
Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut syahid
bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh
sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala
ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat,
Kelantan.
(Mayat Tok Janggut digantung songsang)
(Mayat Tok Janggut)
Pengajaran Daripada Perjuangan
- Jadilah manusia yang berilmu kerana orang yang berilmu akan takut kepada Allah S.W.T. dan membenci kezaliman.
- Sentiasa mendampingi golongan ulama’ kerana kebenaran akan sentiasa berada dengan ulama’.
- Contohilah dan teladanilah pejuang-pejuang Islam yang terdahulu walaupun nama mereka tiada dalam sejarah kemerdekaan negara kerana nama mereka sudah pun terpahat di syurga.
- Marilah kita semua bersatu dalam satu fikrah Islam bagi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi sehingga sekarang.
- Hidup ini mesti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
- Bebaslah diri kamu dari belenggu-belenggu ideolisme yang pelbagai kepada fikrah yang satu iaitu fikrah Islam, nescaya kamu akan merdeka selama-lamanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)