Monday, 16 March 2015

TOK JANGGUT


Gambaran pelukis mengenai muka Tok Janggut berdasarkan sejarah.

Biodata dan Latar belakang


(Haji Mat Hassan Bin Munas/Tok Janggut)

Nama sebenar beliau ialah Haji Mat Hassan bin Munas, namun beliau lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut hingga ke paras dada. Tok Janggut dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Saring daerah Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau menetap di Kampung Nering, Kelantan dan bekerja sebagai seorang petani dan peniaga.
Tok Janggut mendapat pendidikan awal di negeri Kelantan dan seterusnya melanjutkan pengajian di Mekah. Beliau mahir dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu persilatan. Tok Janggut dikatakan ada pertalian darah dengan Sultan Muhammad IV di mana bonda baginda adalah adik-beradik kepada ayah atau ibu Tok Janggut dan ada juga yang mengatakan bahawa Tok Janggut adalah anak murid Tok Ku Paloh.

Faktor Penentangan

Selepas Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 an, pihak British mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari sudut pentadbiran. Perubahan yang dibawa telah menyentuh isu keistimewaan tradisional negeri Kelantan. 

Antara isu sensitif yang dibawa oleh penjajah British adalah:

a) British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah pada tahun 1915 an.

b ) Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai pokok kelapa yang berbuah, cukai pokok pinang, cukai daun sirih dan ternakan lembu serta kerbau.

Rakyat menghadapi masalah kesukaran membayar cukai kerana pejabat cukai terletak jauh di bandar. Penduduk yang gagal membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Tambahan pula sikap biadap pegawai British yang bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.
Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru umat Islam berjihad menentang penjajah Barat. Tok Janggut menyahut seruan tersebut dengan melancarkan penentangan terhadap British di Pasir Puteh, Kelantan.

Tok Janggut dan Perjuangan

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil lagi. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada tahun 1850 an. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, beliau turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram. Beliau belajar ilmu agama di Mekah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat kepada beliau supaya berikhtiar untuk membebaskan tanah air beliau yang dikenali sebagai ‘ Negeri Serambi Mekah ‘. Pada masa yang sama, Inggeris mula melebarkan penjajahannya ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam. Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui oleh orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Tok Janggut pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Tok Janggut juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu yang lain termasuklah pejuang Melayu di negeri Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada bulan Ogos 1914 an. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan pada tahun 1910 an dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan kerajaan Kelantan pada masa itu memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Syaikh Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Tok Janggut memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Tok Janggut bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi untuk menentang Inggeris dan akhirnya bersepakat untuk mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan seterusnya mengisytiharkan jajahan tersebut merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui oleh Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Tok Janggut menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar sebagai Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini Sultan Muhammad IV sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Dipendekkan cerita, atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 orang pengikut kanannya akan menerima ganjaran. Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Langham-Carter meminta Gabenor menghantar bantuan ketenteraan. Gabenor telah menghantar 239 askar Inggeris ke Kelantan pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan cara bersembunyi. Selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura. Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan takbir, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut syahid bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.



(Mayat Tok Janggut digantung songsang)




(Mayat Tok Janggut)

Pengajaran Daripada Perjuangan

  1.  Jadilah manusia yang berilmu kerana orang yang berilmu akan takut kepada Allah S.W.T. dan membenci kezaliman.
  2. Sentiasa mendampingi golongan ulama’ kerana kebenaran akan sentiasa berada dengan ulama’.
  3. Contohilah dan teladanilah pejuang-pejuang Islam yang terdahulu walaupun nama mereka tiada dalam sejarah kemerdekaan negara kerana nama mereka sudah pun terpahat di syurga.
  4. Marilah kita semua bersatu dalam satu fikrah Islam bagi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi sehingga sekarang.
  5. Hidup ini mesti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
  6. Bebaslah diri kamu dari belenggu-belenggu ideolisme yang pelbagai kepada fikrah yang satu iaitu fikrah Islam, nescaya kamu akan merdeka selama-lamanya.